Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Warga asing nafi cuba suap anggota polis

Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Seorang warga China berusia 50 tahun hari ini menafikan tuduhan menawarkan wang rasuah kepada anggota polis.

Jiang Zhi Jun dihadapkan di Mahkamah Majistret dan mengaku tidak bersalah atas dua kesalahan di bawah Seksyen 6(b) Akta Pencegahan Rasuah, Bab 131.

Dakwaan itu dibuat setelah Biro Mencegah Rasuah (BMR) menerima laporan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhubung seorang warga asing yang menawarkan tiga orang anggota polis sejumlah $325 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana disyaki melakukan kesalahan lalu lintas.

Pendakwa Raya Syafina Abdul Hadzid merangka pertuduhan berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh BMR yang mendakwa defendan memandu keretanya ke tempat kerjanya di Jeti Selatan Pulau Muara Besar pada 8:25 pagi 2 September apabila diarah untuk berhenti oleh dua orang anggota polis yang membuat rondaan, kerana memandu tanpa memakai tali pinggang keselamatan dan juga menggunakan telefon bimbit semasa memandu. 

Kedua-dua anggota polis itu kemudian memberhentikan kereta defendan di sekitar tempat kerja defendan. Anggota polis kemudian menjelaskan kepada defendan kesalahannya di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya.

Dakwaan selanjutnya menyatakan bahawa defendan kemudian menawarkan $200 kepada dua orang anggota polis itu sebagai dorongan supaya mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya tetapi apabila anggota polis itu menolak wang itu, dia menambah lagi $50 namun tetap ditolak oleh kedua-dua anggota polis itu.

Kemudian anggota polis tersebut membuat laporan kepada pegawai atasan mereka yang kemudian datang ke tempat kejadian.

Apabila anggota polis ketiga tiba, defendan turut menawarkan wang kepadanya berjumlah $75 sebagai balasan pegawai itu tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya atas kesalahan lalu lintas jalan raya yang didakwa dilakukannya.

Majistret Syaffina binti Shahif menangguhkan kes sehingga 21 September depan untuk menetapkan tarikh perbicaraan dan defendan pada masa ini berada dalam tahanan reman.

Gambar Freepik