Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Singapura musnahkan bom WWII

SINGAPURA, 26 SEPT – Pakar-pakar tentera Singapura hari ini meletupkan bom era Perang Dunia (WW) II seberat 100 kilogram (kg) yang ditemui di tapak pembinaan, menyebabkan ledakan gemuruh di negara bandar itu selepas pihak berkuasa memindahkan ribuan penduduk.

Lebih 4,000 orang telah dipindahkan dari kediaman berdekatan untuk letupan terkawal itu, yang dilaporkan media tempatan sebagai latihan terbesar yang pernah melibatkan peninggalan WWII di Singapura.

Bom udara yang tidak meletup itu ditemui minggu lalu di mana sebuah kondominium sedang dibina di pinggir timur laut Bukit Timah, kata polis pada Ahad.

Kepulan asap kelihatan dari jauh pagi hari ini ketika pakar pemusnah bom melakukan letupan pertama daripada siri letupan.

Sebelum letupan, pegawai tentera dilihat meletakkan beg-beg pasir di sekitar kawasan di mana ia akan diletupkan untuk mengawal letupan, kata seorang wartawan AFP.

Askar-askar membawa bom menggunakan jaring dari tempat ia ditemui ke dalam kawasan beg pasir, di mana bahan-bahan letupan diletakan.

Polis telah memberi amaran kepada penduduk supaya tidak bimbang dengan letupan kuat itu dan mengelak kawasan itu. Peranti itu berkemungkinan mengandungi kira-kira 47kg bahan letupan, cukup kuat untuk memusnahkan blok apartmen, lapor media tempatan. – AFP

Kepulan asap naik selepas bom udara era Perang Dunia Kedua seberat 100kg diletupkan di tapak pembinaan di Singapura, kelmarin. – AFP