Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sentimen perniagaan Julai lebih optimistik

Oleh Syahmi Hassan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Jangkaan keadaan perniagaan bagi Julai 2023 secara keseluruhan adalah lebih optimistik berbanding dengan bulan Jun 2023.

Ia didorong oleh jangkaan peningkatan aktiviti dan penjualan sepanjang bulan berkenaan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ini adalah berdasarkan sub-indeks keadaan perniagaan di tahap 50.6 bagi bulan berkenaan, yang merupakan indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) yang telah dikeluarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

Hasil kaji selidik juga menunjukkan sentimen optimistik dengan projek-projek baharu bagi beberapa perniagaan, manakala sebahagian pula menjangka pemulihan dalam aktiviti perniagaan selepas pelaksanaan kerja-kerja pengubahsuaian dan penyelenggaraan.

Memandang ke hadapan, indeks bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan berada di tahap 50.4, menunjukkan jangkaan lebih optimistik bagi bulan Ogos 2023 berbanding dengan Julai 2023.

Gambar Freepik

Sub-indeks pelaburan pula 49.9, 50.1 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan. Ini menunjukkan secara amnya, para peniaga dijangka akan mengurangkan tahap perbelanjaan pelaburan pada Julai 2023 berbanding Jun 2023, memandangkan pelaburan yang tinggi telah dilaksanakan pada bulan-bulan sebelumnya.

Walau bagaimanapun, memandang ke hadapan, para peniaga menjangka akan meningkatkan sedikit tahap perbelanjaan modal bagi beberapa bulan akan datang, terutamanya yang berkaitan dengan projek-projek.

Sub-indeks pengambilan pekerja adalah 50.3 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan.

Seperti trend sebelumnya, perniagaan dijangka meningkatkan jumlah pekerja pada Julai dan Ogos 2023 selaras dengan keperluan projek baharu dan juga usaha perkembangan perniagaan.

Sub-indeks kos perniagaan pula 50.4 dan 50.6 bagi satu bulan ke hadapan.

Secara amnya, kos menjalankan perniagaan pada Julai 2023 dijangka lebih tinggi daripada bulan sebelumnya.

Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB, www.bdcb.gov.bn.