Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Senda gurau Permaisuri sentuh hati peniaga

KOTA BELUD, 6 SEPT – Kunjungan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pekan Nabalu dekat sini, nyata menggembirakan peniaga dan pengunjung di pekan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu itu.

Kunjungan Tunku Azizah bersempena dengan Kembara Kenali Borneo itu ternyata sangat ditunggu-tunggu para peniaga dan masyarakat setempat di kawasan itu yang terletak 75 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu dengan tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar dengan Seri Paduka.

Keterujaan dan kegembiraan peniaga dan pengunjung Pekan Nabalu itu jelas terserlah pada wajah-wajah mereka sehingga ada dalam kalangan mereka termasuk seorang peniaga buah-buahan, Deulin Pangundar tanpa sedar menitiskan air mata  kerana terlalu terharu dengan keperibadian Seri Paduka yang amat mesra rakyat.

Bahkan, wanita berusia 65 tahun dari etnik Dusun itu, benar-benar tidak menyangka dapat bersalaman serta beramah mesra dengan Tunku Azizah malah Seri Paduka turut bergurau senda mengusiknya yang kuat melatah.

Bercakap kepada Bernama, Deulin menyifatkan keperibadian dimiliki Tunku Azizah sangat peramah dan mesra rakyat tanpa membezakan martabat Seri Paduka sebagai Raja Permaisuri di negara ini.

 “Permaisuri beramah mesra dengan saya seperti orang biasa. Saya ini orang kampung di bahagian hulu tetapi Permaisuri boleh memahami dan saya boleh rasa (keperibadian mesra rakyat Tunku Azizah). Saya tidak sedar apa saya cakap (semasa melatah) dan lepas itu ada perasaan malu pula,” kata penduduk dari Kampung Taginnabur, Kota Belud itu. – Bernama

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan membuat kuih tradisional ‘pinjaram’ ketika membuat lawatan ke Pekan Nabalu sempena Kembara Kenali Borneo kelmarin. – Bernama