Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PM China uji kereta api laju

JAKARTA, INDONESIA, 6 SEPT – Perdana Menteri China, Li Qiang menyertai pengujian kereta api berkelajuan tinggi pertama di Asia Tenggara, hari ini, yang menghubungkan dua bandar Indonesia sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur Jalur dan Laluan China.

Li sedang melawat Jakarta untuk dua hari rundingan dengan pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara dan negara-negara lain.

Projek rel bernilai AS$7.3 bilion yang dibiayai sebahagian besarnya oleh China, menghubungkan Jakarta dan Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat yang berpenduduk padat.

Ia akan memulakan operasi komersial pada 1 Oktober dan akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar daripada tiga jam semasa kepada kira-kira 40 minit.

Li menaiki kereta api dari stesen Halim di timur Jakarta ke stesen seterusnya di bandar Karawang di Jawa Barat, jarak 40km yang mengambil masa kira-kira 11 minit. Beliau ditemani pegawai Indonesia termasuk Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan.

Gambar fail 13 Oktober 2022 menunjukkan seorang wanita mengambil gambar kereta api laju di Tegalluar, Jawa Barat, Indonesia. – AP

“Ini adalah bukti jelas kerjasama moden dan berkualiti tinggi antara kedua-dua negara,” kata Pandjaitan.

Li kemudian kembali dengan kereta api yang sama ke Halim untuk Sidang Kemuncak Asia Timur di Jakarta, di mana beliau menghadiri pertemuan dengan pemimpin Asia dan Barat, termasuk Naib Presiden AS, Kamala Harris; Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

Pembinaan landasan kereta api itu bermula pada 2015. Ia pada asalnya dijangka mula beroperasi pada 2019, tetapi ditangguhkan oleh pertikaian mengenai pengambilan tanah, isu alam sekitar dan pandemik COVID-19.

Ia mulanya menelan belanja 66.7 trilion rupiah (AS$4.3 bilion) tetapi jumlah itu melonjak kepada 113 trilion rupiah (AS$7.3 bilion).

Kereta api sepanjang 142.3km itu dibina oleh PT Kereta Cepat Indonesia-China, dikenali sebagai PT KCIC, usaha sama antara konsortium Indonesia, empat syarikat milik kerajaan dan China Railway International Co. Ltd.

Menurut usaha sama itu, kereta api itu akan menjadi yang terpantas di Asia Tenggara dengan kelajuan sehingga 350kmsj. – AP