Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Perluas program Rukun Negara di kawasan kampung

KUCHING, 6 SEPT – Penganjuran pertandingan yang mengetengahkan konsep Rukun Negara perlu diperluas ke kawasan kampung dan pedalaman di negeri ini bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah di lokasi berkenaan. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerjasama antara wakil rakyat dengan Jabatan Penerangan (Japen) diperlukan untuk mengembangkan inisiatif sedemikian. 

“Harapan saya agar program sebegini boleh diadakan kerap dan bawa program ini ke kawasan saya (Samariang) terutamanya di kampung-kampung. Menerusi kerjasama ini, rakyat boleh berhibur sambil menerapkan nilai patriotisme dalam diri khususnya mengenai kemerdekaan dan Rukun Negara,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 peringkat Sarawak di Yayasan Sarawak, hari ini. 

Menurut Sharifah Hasidah, berbaki 10 hari lagi sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, orang ramai disarankan agar menonjolkan semangat patriotisme bukan sekadar simbolik semata-mata, bersempena dengan Bulan Kebangsaan. – Bernama

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berucap pada majlis perasmian pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 peringkat Sarawak di Yayasan Sarawak, kelmarin. – Bernama