Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Perkhidmatan e-pasport Bangladesh dilancar

Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh hari ini telah melancarkan perkhidmatan e-pasport di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam.

Hadir semasa majlis perasmian di premis suruhanjaya berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.

Juga hadir ialah Setiausaha Tambahan Bahagian Perkhidmatan Keselamatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Bangladesh, Md Saiful Islam serta perwakilan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHEDN) dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bersama beberapa orang warga Bangladesh yang dijemput bagi memeriahkan lagi acara yang penuh bersejarah tersebut.

Pada majlis itu, Md Saiful Islam menekankan tentang kepentingan inovasi berkenaan, sejarah pasport Bangladesh dan kemajuan teknologi e-pasport.

PYT Nahida Rahman Shumona pula berkata, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam telah diperkenalkan sebagai misi Bangladesh ke-33 untuk menyediakan perkhidmatan e-pasport berkenaan.

Pada akhir majlis, lima orang warga Bangladesh menerima slip penghantaran mereka untuk e-pasport.

Warga Bangladesh yang hadir pada majlis tersebut juga melahirkan rasa penghargaan kepada kerajaan Bangladesh kerana memperkenalkan e-pasport di Brunei.

PYT Nahida Rahman Shumona menyampaikan slip penghantaran e-pasport kepada salah seorang penerima pada majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam. – Gambar oleh Muiz Matdani