Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Nenek glamor inspirasi anak muda China

BEIJING – Mereka berjalan di pentas peragaan, tubuh badan langsing yang menampilkan fesyen terkini dengan wajah penuh keyakinan.

Kuartet model itu menarik lebih daripada 100 juta tontonan dan lebih 3 juta peminat dengan video fesyen dalam talian mereka sahaja, membuktikan bahawa, pada usia purata 71 tahun, apabila ia membabitkan gaya dan semangat, meniti usia senja boleh membuka laluan di tengah-tengah trend digital yang didominasi belia baik di dalam mahupun luar negara.

“Kami mahu memanfaatkan perkara yang kami rasa selesa – gaya kami, perspektif positif tentang kehidupan serta kehidupan sihat – untuk menunjukkan kepada orang ramai, melalui platform komunikasi terkini, bahawa awda boleh melalui usia tua dengan anggun dan cantik,” kata Wang Nianwen, seorang pesara guru yang, pada usia 77 tahun, adalah yang tertua daripada empat wanita tersebut.

Bersama Wang Xinghuo, 73, Lin Wei, 68, dan Sun Yang, 67, pesara dari Beijing itu adalah sebahagian daripada Shishang Nainai (Nenek Bergaya), kumpulan popular di platform dalam talian seperti laman video pendek Douyin menghasilkan kandungan inspirasi yang membantu ramai untuk menghadapi cabaran masyarakat yang semakin tua.

Empat sekawan itu bertemu dua dekad lalu dalam bengkel peragaan dan mendapati mereka mempunyai minat yang sama dalam industri yang membolehkan mereka sentiasa sibuk selepas bersara, seterusnya menghasilkan video peragaan – yang juga ditandakan di bawah nama Inggeris dalam talian kumpulan itu, Glamma Beijing – menarik jumlah penonton yang mengagumkan dalam tempoh empat tahun lalu.

Gambar menunjukkan pakaian bergaya mereka tular dalam talian. – Gambar China Daily
Dalam pakaian tradisional qipao, Wang Xinghuo, Sun Yang, Lin Wei dan Wang Nianwen bergambar di Kota Larangan Beijing pada 2019. – Gambar China Daily
Kuartet model amatur bergambar di Beijing pada 2019. – Gambar China Daily

Lin ialah seorang pemain bola keranjang profesional yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan menjadi jururawat. Berdiri pada 1.8 meter, warga emas itu adalah yang paling tinggi dalam ahli kumpulannya, yang semuanya melebihi 1.7 meter.

“Kami mahu menunjukkan kepada orang tua lain bahawa mereka boleh menjalani kehidupan yang bermakna seperti ini,” kata Lin.

“Kami juga mahu mesej itu sampai kepada golongan muda, bahawa mereka boleh meniti hari tua secara positif dan mereka boleh mencipta masa depan yang cerah bersama warga tua. Jika awda positif, hidup awda akan bersinar.

“Merakam video boleh mencerminkan keadaan minda dan tubuh badan kita yang sebenar dari semua sudut. Menerima penuaan sebagai proses semula jadi, menerima kedutan, rambut uban saya – semua ini membantu kita menghargai kepuasan kehidupan seharian.”

Sun, seorang guru yang juga pakar dalam bahasa Inggeris, telah beralih kepada perniagaan luar dalam sektor pakaian.

“Saya terlibat dalam bidang eksport, seperti kimono dan beg Jepun. Kerja saya agak berkaitan dengan fesyen, tetapi saya lebih berurusan dengan pemprosesan bahan mentah dan tidak mengambil bahagian dalam reka bentuk. Membabitkan diri dalam fesyen adalah pilihan peribadi semata-mata,” katanya.

“Tiada seorang pun daripada kami mempunyai pengalaman sebenar dalam fesyen. Sebab mengapa saya menyertai kelas peragaan pada mulanya adalah saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas bersara dan mahu mencari sesuatu yang menyeronokkan untuk diceburi.”

Menantu Sun, Zhang He, membantu kumpulan itu merakam dan menyiarkan video mereka, selain berhubung dengan syarikat dan kumpulan industri yang ingin bekerjasama dengan warga emas untuk menghubungkan mereka dengan pelanggan yang merupakan peminat.

Selain rujukan produk untuk penonton kuartet yang berminat dalam apa yang mereka pakai, bawa dan gunakan, Zhang juga membantu melibatkan model senior dalam kerja-kerja amal sebagai sebahagian daripada usaha jangkauan mereka.

Sun berkata, “Secara amnya, kami melakukan kira-kira empat sesi penstriman langsung sebulan. Itu termasuk memperkenalkan dan menampil pakaian, beg dan produk penjagaan kulit yang kami rasa mampu milik.

“Sebarang hasil yang kami peroleh dalam mempromosikan produk akan digunakan untuk menyokong aktiviti kami.”

Impak teladan

Bilangan penduduk China berumur 60 tahun ke atas telah mencecah 280 juta pada akhir tahun lepas, menurut angka industri terkini, dengan mereka yang hidup kurang upaya dan demensia sudah mencecah 45 juta pada 2021, menimbulkan kebimbangan terhadap keutamaan penjagaan jangka panjang di negara itu.

Ditanya tentang rahsia di sebalik kesejahteraan fizikal dan mental mereka, keempat-empat model fesyen senior bersetuju bahawa asas kesihatan yang baik mesti diutamakan sejak awal kehidupan.

Tabiat sihat boleh menjadi amat sukar diterapkan dan dilaksanakan apabila seseorang sudah tua, kata mereka.

Selain manfaat daripada amalan diet yang teratur, berkhasiat, tidur yang mencukupi dan senaman yang berterusan melalui disiplin dan kerja keras, serta rangkaian sokongan keluarga dan sosial, kesabaran juga penting, kata mereka.

“Ramai orang muda cenderung mendapatkan hasil yang cepat dan tidak mempunyai kesabaran untuk melakukan setiap tugas, ” kata Sun.

Pelbagai tarikan

“Ia terpakai bukan sahaja semasa bekerja tetapi juga menjaga kesihatan awda sendiri dan keluarga. Adalah penting mempunyai kesabaran untuk menangani tugas-tugas yang dihadapi, satu demi satu. Apabila mereka melihat kami, ramai anak muda melahirkan rasa kagum dan mengatakan mereka mahu menjadi seperti kami, tetapi pencapaian kami sekarang adalah hasil daripada tindakan kami pada masa muda,” katanya.

“Pada tahun 2019, apabila kami mula menjadi pencipta kandungan dalam talian, kami banyak berinteraksi dengan peminat kami. Kami ingin tahu dan bertanya kepada orang muda mengapa mereka menyukai kami, sebagai wanita yang lebih tua. Mereka tidak dapat menjelaskan sebabnya, tetapi mereka merasakan mereka telah menemui tempat di mana mereka boleh bercerita dan meluahkan isi hati mereka.

Bintang antarabangsa

Kemasyhuran dan impak kumpulan itu juga semakin menjangkau penonton di luar negara.

“Kami dalam satu cara boleh mewakili warga tua di China dan imej kami ini, sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami sekarang, membuatkan kami merasakan bahawa tanggapan warga tua di China telah berubah, menjalani kehidupan aktif dan memberikan impak positif.”

“Orang tua mempunyai kelebihan dalam pengalaman mereka. Pengalaman kami boleh memberi manfaat kepada orang lain dan ini memberikan kami rasa kejayaan. Kami gembira untuk menyampaikan pemahaman kami tentang masyarakat dan kehidupan kepada orang lain.”

Wang Nianwen berkata sesiapa sahaja yang ingin mencapai kejayaan seperti kumpulannya boleh berbuat demikian, tanpa mengira rupa, latar belakang atau status sosial.

“Awda tidak perlu menjadi seperti model, tinggi atau kelihatan langsing.Sama ada awda pandai memasak, melukis, menanam, membuat kraf tangan atau hanya melakukan apa sahaja yang awda suka atau yang menggembirakan awda, kongsi kemahiran dan minat awda dalam talian seperti kami, dan tunjukkan kepada lebih ramai orang mengapa penuaan boleh menjadi anggun dan cantik,” katanya. – ANN/China Daily