Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Najwa tak marah sering ditanya soalan anak

Sering menerima pertanyaan mengenai zuriat sejak berkahwin pada November tahun lalu, penyanyi Najwa Latif berkata dia sama sekali tidak pernah berkecil hati apabila diajukan soalan sama.

Meskipun belum dikurniakan rezeki itu, Najwa atau Imratul Najwa Abdul Latif, 28, sentiasa positif dan menganggap setiap ucapan yang diterima sebagai satu doa.

“Saya tidak pernah marah kalau orang mesej saya berkenaan mengandung… sebab apa yang mak dan suami kata, itu adalah doa.

“Jadi, kalau ada rezeki, ada. Saya dan suami tiada rancang apa-apa untuk anak, kami menerima seadanya,” katanya kepada mStar.

Penyanyi lagu Muka Buku itu ada memuat naik satu hantaran di Instastory hari ini memperlihatkan dia berpimpin tangan bersama suaminya, iaitu Akwa Arifin.

Najwa yang mengenakan baju serba hitam bersaiz besar itu kelihatan seperti sedang hamil.

Najwa bagaimanapun menafikan tanggapan peminat mengenai kehamilan dengan meletakkan kapsyen #justthetwoofus #notthree #janganbukebukeplis.

Kata Najwa, dia lebih gemar mengenakan pakaian bersaiz besar yang mungkin menjadi sebab ada pihak menganggap dirinya sedang mengandung.

“Kadang-kadang bila saya muat naik gambar, orang asyik bertanya adakah saya sedang mengandung tapi buat masa ini saya belum mempunyai rezeki untuk mengandung,” ujarnya. – Agensi

Najwa Latif nafi sedang mengandung. – mStar