Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Lebih 340 juta wanita terus dibelenggu kemiskinan menjelang 2030 – PBB

NEW YORK, 8 SEPT – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada kelmarin memberi amaran bahawa lebih 340 juta wanita dan kanak-kanak perempuan (sekitar lapan peratus daripada populasi wanita dunia) terus dibelenggu kemiskinan tegar menjelang 2030 jika trend semasa berterusan.

Laporan baharu oleh Wanita PBB memberi gambaran suram tentang kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita di bawah Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu agenda universal untuk menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk menjelang 2030.

Dunia gagal mencapai kesaksamaan jantina walaupun menerusi usaha global, Agensi Anadolu memetik laporan itu.

Bagi setiap dolar yang diperoleh golongan lelaki menerusi pendapatan buruh secara global, wanita hanya memperoleh 51 sen, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam konteks yang terjejas oleh konflik mencapai 614 juta pada tahun 2022, 50 peratus lebih tinggi daripada jumlah pada tahun 2017.

”Di peringkat global, pada kadar kemajuan semasa, dianggarkan 110 juta kanak-kanak perempuan dan wanita muda akan berhenti sekolah pada 2030,” katanya.

Laporan itu menyatakan bahawa tambahan US$360 bilion setahun diperlukan untuk mencapai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita merentas matlamat global utama.

Ia memberi amaran bahawa kegagalan untuk mengutamakan kesaksamaan jantina boleh menjejaskan keseluruhan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan. – Bernama

– Freepik