Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jepun lulus ubat Alzheimer oleh Eisai & Biogen

TOKYO, 26 SEPT – Kementerian kesihatan Jepun pada kelmarin meluluskan pengeluaran dan penjualan ubat untuk penyakit Alzheimer yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Eisai Co. dan firma Amerika Syarikat (AS) Biogen Inc.

Lecanemab, yang dikenali sebagai Leqembi, akan menjadi ubat pertama di Jepun bagi merawat punca penyakit neurodegeneratif yang memudaratkan dan memperlahankan perkembangan gejalanya, lapor Kyodo News.

“Kita telah membuka lembaran baharu dalam sejarah rawatan penyakit Alzheimer,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Eisai Haruo Naito dalam satu kenyataan.

Alzheimer bukan sahaja menyebabkan kemerosotan dan beban yang ketara bagi penghidap dan penjaga mereka, tetapi kami komited untuk menyampaikan Leqembi sebagai rawatan baharu yang menghapuskan punca penyakit itu, kata Naito.

Ubat itu adalah sejenis antibodi khas yang menyasarkan protein yang dipanggil amyloid beta, bertujuan untuk merawat Alzheimer pada peringkat awal dan gangguan kognitif ringan.

Protein berbentuk plak, yang terkumpul di dalam otak dan memusnahkan sel saraf, dianggap sebagai punca penyakit itu.

Ubat ini diberikan melalui suntikan intravena setiap dua minggu. 

Eisai mengunjurkan bahawa kira-kira satu peratus daripada 5 juta hingga 6 juta individu dengan keadaan kesihatan khusus yang memenuhi syarat akan menggunakan ubat berkenaan.

Langkah itu dibuat selepas pengawal selia AS secara rasmi meluluskan Lecanemab pada Julai selepas memberikan kelulusan bersyarat pantas pada awal Januari. 

Di Jepun, panel kementerian kesihatan memberi kelulusan rasmi pada akhir Ogos.

Eisai turut memohon kelulusan ubat itu di negara lain, termasuk China, Kanada dan Britain.

Kadar harga ubat itu di Amerika Syarikat ialah AS$26,500 setahun, manakala harga di Jepun berkemungkinan tinggi.

Eisai menjelaskan bahawa berdasarkan ujian klinikal, ubat itu mengekang perkembangan gejala seperti hilang ingatan dan gangguan penilaian sebanyak 27 peratus berbanding plasebo.

Bagaimanapun, sesetengah pesakit turut mengalami kesan sampingan seperti edema otak dan pendarahan. – Bernama

– Freepik