Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hubungan ASEAN-China hendaklah bergantung pada kepercayaan – Jokowi

JAKARTA, 6 SEPT – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan keyakinannya bahawa hubungan antara negara ASEAN dan China boleh menjana kerjasama sebenar jika saling percaya antara satu sama lain, lapor agensi berita ANTARA.

“Kepercayaan dan kerjasama konkrit ini boleh menjadi kuasa positif untuk kestabilan dan keamanan serantau,” kata presiden itu semasa merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 di Jakarta pada hari ini.

Menurut Jokowi, China telah menjadi rakan dialog ASEAN sejak 1996. Pada 2021, ASEAN dan China meningkatkan hubungan mereka kepada perkongsian strategik yang komprehensif.

Presiden menegaskan bahawa hubungan tersebut harus ditafsirkan dengan merealisasikan kerjasama konkrit yang saling menguntungkan.

Beliau membuat kenyataan itu di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara China dan beberapa negara anggota ASEAN mengenai Laut China Selatan.

Pada 28 Ogos, China mengeluarkan Peta Standard China Edisi 2023 yang dianggap beberapa pihak sebagai alat untuk menuntut perairan ini.

Dalam hal itu, Malaysia, Vietnam, dan Filipina menolak peta baharu China.

Indonesia, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2023, mengambil inisiatif untuk mempercepatkan proses rundingan kod tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.

Garis panduan itu diterima pakai pada mesyuarat menteri luar ASEAN dan Pengerusi Majlis Dasar Luar China Wang Yi di Jakarta pada 13 Julai dan dirancang untuk diratifikasi oleh pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN-China.

Selain daripada rundingan CoC, Kementerian Luar Indonesia menyatakan bahawa Indonesia akan terus menggalakkan peningkatan kerjasama maritim praktikal antara ASEAN dan China dalam usaha meningkatkan kepercayaan bersama dan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini. – Bernama

Joko Widodo semasa berucap semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta pada hari ini. – AFP