Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Cheong Min mampu lakar sejarah tersendiri

HANGZHOU, 25 SEPT – Atlet wusyu wanita Malaysia, Tan Cheong Min kini berupaya melompat lebih tinggi dalam usahanya merealisasikan impian meraih pingat sulung Sukan Asia Hangzhou 2022 bagi acara nanquan+nandao, esok.

Juara dunia 2019 dalam acara nandao itu berkata peningkatan itu mungkin disebabkan faktor penurunan berat badan selepas menjalani latihan intensif di Tianjin, China selama sebulan menjelang temasya sukan berkenaan.

Namun, apa yang mencuit hati pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu adalah apabila beliau hanya menyedari kehilangan berat badan setibanya di Hangzhou minggu lepas.

“Semasa berlatih di Tianjin kami (kem wushu) tiada penimbang berat jadi kami tak tahu berat naik atau turun.

“Bila tiba di sini baru semua tahu berat masing-masing menurun.

Gambar Bernama

“Saya juga perasan prestasi saya semakin baik dan boleh melompat lebih tinggi sebab berat sudah berkurang dan mungkin jisim otot meningkat,” kata atlet berusia 25 tahun itu sambil tersenyum ketika ditemui.

Mengulas mengenai harapan untuk menaiki podium pada penampilan keduanya di Sukan Asia, Cheong Min yang memiliki perwatakan peramah berkata beliau berpeluang membawa pulang pingat jika berjaya menampilkan persembahan sempurna.

Malah, kejayaan menggondol dua emas di Sukan SEA Kemboja yang juga penampilan sulungnya di temasya sukan dwitahunan itu, turut memberi keyakinan untuk meneruskan rentak kecemerlangan di Hangzhou.

“Sukan SEA beri saya peluang meraih pengalaman baharu dan platform yang menguatkan mental saya. Selepas Sukan SEA saya rasa (kekuatan) mental lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Cheong Min berkata beliau bakal mengenakan pakaian berwarna kuning ketika turun beraksi Pusat Sukan Xiaoshan Guali, esok.

“Untuk saya yang mempunyai tubuh agak kecil, saya akan pilih pakaian berwarna terang seperti kuning,” katanya. – Bernama