Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Berkenan hadiri sidang kemuncak berkaitan

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 6 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26; Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) ke-26; Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-11; dan Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada di Pusat Konvensyen Jakarta, Republik Indonesia.

Berangkat mengiringi Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26, Baginda Sultan bertitah menyatakan bahawa perkongsian ASEAN-Jepun telah diperkukuhkan dan terus berkembang dengan lebih strategik dan saling menguntungkan.

Kebanyakan pembangunan perindustrian terawal ASEAN dicapai melalui kerjasama yang berjaya, sekali gus dapat menyumbang kepada kapasiti pembuatan ASEAN.

Baginda juga menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti ini – bersama-sama dengan usaha-usaha Jepun untuk menyokong dan mempromosikan pertukaran budaya dan rakyat dengan rakyat – telah membina asas yang kukuh untuk saling memberikan kepercayaan dan keyakinan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan APT semasa Sidang Kemuncak APT ke-26 di Jakarta, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan Naib Presiden AS semasa Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-11. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama TYT Joko Widodo dan isteri semasa Majlis Santap Malam Gala. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan perjumpaan dua hala bersama TYT Pham Minh Chính (atas) dan TYT Hun Manet (bawah). – Gambar oleh Infofoto

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida dalam kenyataannya menekankan komitmen Jepun terhadap inisiatif-inisiatif yang akan mengukuhkan kerjasama antara ASEAN dan Jepun, seperti Japan-ASEAN Connectivity Initiative dan sumbangan Jepun sebanyak AS$100 juta ke Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF).

Ketua Delegasi Thailand, Tuan Yang Terutama Sarun Charoensuwan kemudian menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Hubungan Dialog ASEAN-Jepun.

Semasa sidang itu, para pemimpin menyambut baik untuk menaik taraf hubungan dialog ASEAN-Jepun ke Perkongsian Strategik Komprehensif dan menggariskan bidang-bidang kerjasama utama antara ASEAN dan Jepun seperti tenaga yang dapat diperbaharui, inovasi, kesalinghubungan dan keselamatan siber.

Sidang Kemuncak APT ke-26

Pada Sidang Kemuncak APT ke-26, Baginda bertitah menekankan bahawa APT telah berjaya memudahkan penyelarasan dalam pelbagai bidang dan membantu menangani krisis kewangan dan kesihatan yang memberi impak kepada rantau ini.

Justeru itu, saling bekerjasama adalah penting bagi memastikan keselamatan makanan, terutamanya untuk memastikan kesediaan yang berterusan bagi APT Emergency Rice Reserve, yang mustahak dalam melindungi keselamatan makanan semasa kecemasan.

Dalam mengakhiri titah, Baginda mengiktiraf bahawa mekanisme yang relevan seperti Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), ASEAN+3 Macroeconomic Office (AMRO) dan Asian Bond Markets Initiative telah dibangunkan untuk bertindak balas terhadap krisis ekonomi dan kewangan sebelum ini.

Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yoon Suk-yeol, selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog APT pula menekankan kepentingan tindakan bersepadu untuk menangani cabaran masa kini iaitu ketegangan geopolitik dan krisis iklim ke arah memastikan ASEAN menjadi pusat perkembangan ekonomi.

Ini diikuti dengan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida yang menyatakan komitmen Jepun terhadap multilateralisme, keselamatan makanan serta untuk menyokong pelaksanaan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

Sementara itu, Perdana Menteri Republik China, Tuan Yang Terutama Li Qiang menekankan bahawa penting bagi ASEAN dan negara-negara APT untuk meningkatkan komunikasi bagi memastikan asas yang kukuh kepada APT dan membina komuniti ASEAN dengan masa depan yang sama.

Pada sidang itu, para pemimpin berbincang mengenai hala tuju masa depan APT bagi menyokong tema ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.

Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-11

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-11, Baginda bertitah mengiktiraf sokongan AS yang berterusan terhadap usaha-usaha ASEAN dalam pembangunan Komuniti, serta dalam memastikan rantau ini kekal aman dan makmur.

Oleh itu, Baginda menyambut baik ASEAN – U.S. Leaders’ Statement on Cooperation on the AOIP yang mengesahkan semula komitmen untuk memajukan kerjasama praktikal, dengan berpusatkan pada ASEAN.

Sementara itu, Naib Presiden AS, Puan Yang Terutama Kamala Harris mengongsikan, dengan memanfaatkan perkongsian AS bersama ASEAN akan dapat meraih peluang-peluang besar untuk pertumbuhan melalui pelaburan dalam ekonomi digital, usaha untuk mengatasi perubahan iklim dan penubuhan Pusat ASEAN-AS di Washington D.C.

Presiden Republik Indonesia dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Joko Widodo selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-AS, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN yang menggalakkan peningkatan keselamatan makanan dan tenaga melalui kerjasama dalam bidang tenaga bersih dan dalam sektor pertanian.

Dalam sidang ini, para pemimpin menyambut baik peranan positif AS di rantau ini dan mengalu-alukan peningkatan kerjasama dalam bidang pembangunan modal insan, digitalisasi, tenaga yang dapat diperbaharui, belia dan pemerkasaan wanita.

Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada pula, Baginda bertitah merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran hutan yang dahsyat melanda Kanada dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Melihat pada cabaran-cabaran yang dihadapi di peringkat serantau, Baginda menzahirkan kegembiraan dengan penubuhan Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang yang lebih kritikal dan berkepentingan bersama.

Pada mengakhiri titah, Baginda menitikberatkan keperluan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pengeluaran pertanian dan keselamatan makanan, dan dalam hal ini juga menyambut baik kelulusan ASEAN-Canada Joint Leaders’ Statement on Streng-thening Cooperation on Food Security and Nutrition in Times of Crisis.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Tuan Yang Terutama Justin Trudeau, mengongsikan bahawa AOIP dan Strategi Indo-Pasifik Kanada adalah selaras dan mempunyai komitmen yang jelas terhadap keamanan dan kestabilan.

Di samping itu, Kanada juga menyatakan bahawa ia berhasrat untuk menyertai mekanisme yang dipimpin ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN.

Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-Kanada, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN yang antara lainnya berharap untuk penyelesaian awal rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada serta menyeru untuk mengukuhkan seni bina kesihatan serantau dan kerjasama dalam penyesuaian dan pengurangan kesan-kesan perubahan iklim.

Dalam sidang ini, para pemimpin berbincang bagi meningkatkan hubungan ekonomi antara ASEAN dan Kanada, dan memanfaatkan kekuatan Kanada dalam bidang-bidang kerjasama seperti ekonomi digital dan pembangunan modal insan melalui program pendidikan dan biasiswa.

Perjumpaan Dua Hala

Terdahulu pada sebelah pagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri perjumpaan-perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Manet dan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chính, yang berlangsung secara berasingan di Pusat Konvensyen Jakarta.

Semasa perjumpaan bersama TYT Hun Manet, kedua-dua pemimpin menggalakkan bagi penerokaan peluang-peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara.

Di samping itu, Baginda Sultan juga menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama untuk mengadakan lawatan ke Brunei, di mana Tuan Yang Terutama juga menjunjung Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk berangkat mengadakan lawatan ke Kemboja.

Semasa perjumpaan dua hala bersama TYT Pham Minh Chính, di mana kedua-dua pemimpin antara lainnya menggariskan perkembangan kerjasama yang menggalakkan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam, khususnya dalam empat bidang iaitu minyak dan gas, industri kimia, produk-produk halal dan pertukaran antara masyarakat.

Majlis Santap Malam Gala

Manakala itu, pada sebelah malam, Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Gala bagi meraikan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, pemimpin-pemimpin negara rakan dialog, dan tetamu-tetamu khas yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan, yang dihoskan oleh TYT Joko Widodo.

Sejurus keberangkatan tiba di Hutan Kota by Gelora Bung Karno, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Presiden Republik Indonesia dan isteri, Hajah Iriana Widodo.
Majlis juga diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan.

Berangkat mengiringi Baginda pada perjumpaan dua hala dan majlis santap berkenaan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.