Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Berbakti tidak kira usia

Oleh Salawati Haji Yahya –

Walaupun bergelar warga emas, Haji Tamit bin Haji Alias, 77, tetap gigih dan cekal menabur bakti dengan membuat kerja-kerja kemasyarakatan bagi keharmonian penduduk kampungnya.

Beliau yang berasal dari Kampung Pudak pernah menjadi penduduk Kampung Serdang sebelum menjadi penduduk tetap di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri 23 tahun yang lalu setelah bersara.

Disebabkan semangat beliau dalam menyertai aktiviti kemasyarakatan, telah menyebabkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Ilal Hijrah 1445 atas sumbangan dan penglibatan yang aktif khususnya dalam majlis perundingan kampung (MPK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) RPN Kampung Mentiri.

Melihat kegigihan dan keaktifan dalam aktiviti, penulis berpeluang menemu bual penerima di kediaman Pemangku Ketua Kampung, RPN Kawasan II Kampung Mentiri, Haji Nizam bin Haji Julaihi, baru-baru ini.

Penglibatan beliau dan anugerah yang diberikan itu dapat dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada belia-belia di luar sana.

Penerima Anugerah Ilal Hijrah 1445, Haji Tamit semasa menyertai aktiviti kemasyarakatan kampung. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Haji Nizam sempat berkongsi pandangan beliau mengenai penerima Anugerah Ilal Hijrah 1445. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Haji Tamit tidak menyangka akan menjadi penerima Anugerah Ilal Hijrah 1445. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Haji Tamit mengisi masa lapang dengan menangkap ikan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Salawati Haji Yahya

Penglibatan aktiviti

Dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau pernah terlibat dalam aktiviti kejiranan kampung bersama Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mengawal kesejahteraan dan keharmonian kampung berkenaan.

Penglibatan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan dan kampung tidak pernah dipertikaikan malah ia menjadi pendorong dan contoh kepada belia-belia di kampung berkenaan.

Selain bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau juga sering menghadiri aktiviti keagamaan di kampung berkenaan dan terlibat dalam pengagihan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan dan pengagihan daging-daging korban sempena Hari Raya Aidiladha di kampung berkenaan.

Beliau telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menyumbang tenaga dan bersama-sama ahli lain bergotong-royong untuk melancarkan program dan aktiviti kendalian MPK dan JKKK di kawasan berkenaan.

Penglibatan beliau dalam aktiviti kejiranan kampung itu terbukti dapat dijadikan contoh dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan kampung.

Haji Tamit juga suka mengisi masa lapang dengan membuat aktiviti menangkap ikan selain menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dikendalikan oleh kampung.

Selesai dengan aktiviti kampung, di rumah, beliau akan melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah untuk mengisi masa yang terluang.

Ada juga suara daripada ahli keluarga meminta beliau mengurangkan dalam beraktiviti memandangkan usia dan juga kesihatan beliau.

Cenderahati Ilal Hijrah

Dengan Anugerah Ilal Hijrah 1445 yang diberikan, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana masih ada pihak yang menghargai sumbangan beliau, walaupun tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Sumbangan beliau kepada kampung itu adalah salah satu cara bagi membantu kerja-kerja kampung dalam sama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung.

Katanya lagi, “Dengan anugerah yang diberikan oleh kampung itu, saya akan terus berusaha membantu dalam aktiviti kemasyarakatan dan juga keagamaan untuk kepentingan kampung tanpa mengharapkan apa-apa,” jelasnya.

Menurutnya, untuk terus berusaha menabur bakti kepada kampung beliau mesti menjaga kesihatannya dengan mengamalkan pemakanan yang sihat iaitu memakan makanan
yang direbus dan sayuran hijau, ulam-ulaman selain meminum air yang secukupnya.

Selain itu, beliau juga sering melakukan aktiviti senaman ringan dengan berjalan di kawasan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke jambatan Bomba Sumbiling selepas sembahyang Fardu Subuh.

Pandangan PMK ketua kampung

Pemangku Ketua RPN Kawasan II Kampung Mentiri, semasa ditemui juga sempat berkongsi pandangan beliau mengenai penerima.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu merupakan anugerah yang kedua dinilai melalui sumbangan dan penglibatan kepada kampung yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.

Penglibatan beliau dalam aktiviti kampung bukan baharu, malah daripada ketua-ketua kampung sebelumnya juga telah dilihat kemesraan dan penglibatan aktif beliau dalam pelbagai aktiviti.

“Beliau seorang yang berdisiplin dan komited dalam menyertai apa sahaja aktiviti yang dikendalikan oleh kampung,” ujarnya.

Melihat kepada usia penerima yang sudah hampir memasuki 80 tahun, juga pernah disuarakan untuk tidak menyertai aktiviti tapi disebabkan kecenderungan dalam beraktiviti, penerima tetap meneruskan keinginan beliau.

Selain itu penerima anugerah itu juga mempunyai sifat yang ringan tangan dalam membantu kerja-kerja berunsur kemasyarakatan seperti dalam memperbaiki jambatan yang roboh di Kampung Pengkalan Si Babau.

“Kami melihat penerima Anugerah Ilal Hijrah 1445 ini daripada seorang yang ‘zero to hero’ dan semua itu adalah berkat usaha dan kecekalan beliau dalam mempertingkatkan diri bukan saja dalam bidang keagamaan malah dalam aktiviti kemasyarakatan dengan penduduk kampung,” jelasnya.