Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Angka kematian akibat siklon tropika di Brazil mencecah 40

BOGOTA, 8 SEPT – Angka kematian akibat siklon tropika yang membadai selatan Brazil telah meningkat kepada 40 nyawa, lapor Agensi Anadolu.

Menurut pegawai di negeri Rio Grande do Sul, seramai 3,575 orang telah dipindahkan manakala sembilan masih hilang dan jumlah kematian dijangka meningkat apabila lebih ramai mangsa ditemui.

Sebagai tindak balas kepada situasi banjir, hujan lebat dan angin kencang, Gabenor Rio Grande do Sul Eduardo Leite mengisytiharkan kecemasan awam di majlis perbandaran yang terjejas.

Jalan dan rumah ditenggelami air di bandar kecil Mucum, memaksa penduduk memanjat bumbung kediaman masing-masing, dan menanti helikopter menyelamatkan mereka.

Bagi menangani krisis itu, lebih 900 pegawai negeri telah dikerah untuk menjalankan misi mencari, menyelamat dan mengenal pasti mangsa.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menjanjikan sokongan kerajaan di kawasan yang terjejas.

“Kami bersedia membantu dalam apa sahaja keadaan yang perlu. Di mana ada masalah, kerajaan persekutuan akan berada di sana untuk menyelamatkan orang ramai daripada masalah itu. Solidariti kami dengan penduduk Rio Grande do Sul,” katanya. – Bernama

Penduduk Brazil berjalan di tengah-tengah rumah yang musnah selepas banjir yang disebabkan oleh siklon maut di Mucum, negeri Rio Grande do Sul, Brazil. – AP