Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Achey tak menang tangan

Susulan perniagaan Tiara Botol Candy mendapat permintaan luar biasa setiap kali jualan dibuka, pelawak Achey mengambil keputusan mengupah beberapa orang pekerja sambilan bagi membantu melakukan kerja pembungkusan.

Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 37, berkata, dia dan isteri tidak lagi mampu memenuhi permintaan yang ada sebaliknya merancang menyediakan stok terlebih dahulu sebelum membuka jualan di TikTok.

“Apabila permintaan terlalu tinggi, saya tidak boleh membuka jualan dulu baru nak buat bungkusan. Kami jadi penat kerana setiap hari tempahan akan bertambah.

“Katakan kami bungkus 5,000 gula-gula, tetapi tidak perasan dekat beg kuning ada lagi 1,000 tempahan… Jadi kami sudah terlebih bajet.

“Jadi buat sementara ini saya fikir ingin mencari pekerja sambilan untuk kerja pembungkusan,” katanya ketika dihubungi mStar.

Perniagaan Tiara Botol Candy mendapat sambutan luar biasa. – Harian Metro

Dalam pada itu, Achey memberitahu sebaik sahaja memuat naik iklan menari pekerja sambilan di Instagram miliknya pada Selasa, dia menerima ratusan mesej daripada individu yang berminat, termasuk ada menawarkan untuk bekerja secara sukarela.

Kata Achey, dia membuka peluang buat individu yang ingin bekerja untuk membungkus gula-gula, khususnya buat pelajar dan masih bujang.

“Sebelum ini waktu cuti sekolah kami buat di kampung… ramailah sepupu dan saudara yang tolong Tiara bungkus gula-gula tersebut.

“Bila sudah berada di KL, siapa nak tolong… jadi mungkin saya boleh cari pekerja sambilan dalam kalangan pelajar dan masih bujang… ini kerana orang bujang kurang sikit komitmennya.

“Baru saja saya update tadi, ramai yang mesej nak bekerja dengan saya malah, ada yang kata sanggup tidak dibayar semata-mata ingin berjumpa Tiara,” ujarnya.

Sementara itu, Achey meluahkan rasa syukur apabila jualan yang diusahakan anak perempuannya, Nur Tiara Zinnirah mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

Setakat ini, hampir 18,000 pek gula-gula sudah terjual dan jumlah pemulangan semula juga sangat rendah berbanding sasaran yang dibuat. – Agensi