Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

144 botol minuman keras dirampas

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Sebanyak 144 botol minuman keras telah ditemui dalam sebuah kenderaan yang mencurigakan semasa rondaan harian oleh Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Kampung Puni, Temburong pagi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, hari ini, Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, PPDB dan ABDB ketika menjalankan rondaan harian berkenaan terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan.

Kenderaan berkenaan diperiksa setelah memasuki jalan Kampung Puni ‘A’ dan diletakkan di kawasan penghujung jalan. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kotak yang dibungkus dengan plastik dipercayai barang tegahan iaitu minuman keras sebanyak 144 botol.

Kenderaan dan barang bukti berkenaan dibawa ke Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong bagi siasatan selanjutnya. Kesemua barang rampasan berserta kenderaan berkenaan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.

PPDB menyeru orang ramai supaya dapat menyalurkan dan mengongsi sebarang maklumat mengenai apa jua kegiatan jenayah melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Kenderaan yang membawa kotak mengandungi 144 botol minuman keras semasa ditemui PPDB di Kampung Puni. – Gambar serahan PPDB
Antara minuman keras yang dirampas semasa pemeriksaan PPDB di Kampung Puni, Daerah Temburong. – Gambar serahan PPDB